Another Source

Kamis, 02 Februari 2012

Spesifikasi kabel Ehternet

 SPESIFIKASI kabel yang digunakan dalam rangkaian Ehternet adalah:

1. 10Base5 (coaxial tebal RG-8)

  a) Kelajuan 10Mb/s, pengisyaratan jalur asas (baseband) dan panjang
maksimum 500 meter. Mula diperkenalkan dalam tahun 1980 dan masih
digunakan sebagai segmen tulang belakang (backbone) untuk penyambung di
dalam sistem hub Ethernet kerana ianya murah. Bagaimana pun kabel jenis
ini hanya sesuai untuk kelajuan hingga 10 Mb/s.

  b) Panjang minimum 2.5 meter antara unit sambungan sederhana (Medium
attachment units, MAU).

  c) MAU maksimum 100. MAU di sini berfungsi sebagai alat
penghantar/penerima (transceiver). Kabel AUI yang turut dikenali sebagai
kabel transceiver disambung menggunakan penyambung 15 pin ke MAU dan DTE,
dengan jarak maksimum 50 meter.

  d) Penyambung yang digunakan untuk menyambungkan kabel dari 10Base5
ialah jenis tap coaxial atau lebih dikenali dengan panggilan Vampire,
kerana kita perlu menebuk lubang pada kabel tersebut.

  e) Memerlukan terminator 50 ohm di kedua-dua hujung kabel dan dibumikan
(grounded) salah satu penghujungnya sebagai keselamatan. Ditegah
membumikan kedua-dua hujung kabel kerana ia akan menganggu isyarat
Ethernet yang mengalir.

  f) Sekiranya sistem rangkaian didapati mengalami kepincangan seperti
kelembapan (slow), ia mungkin disebabkan oleh sambungan pada tap coaxial
(penyambung vampire) mungkin rosak atau kad ethernet di dalam DTE turut
rosak. Walau apa pun, kemungkinan kabel 10base5 rosak amat tipis.

  g) Kerap digunakan di dalam rangkaian bus dan rangkaian bintang (Star).

2. 10Base2 (coaxial nipis RG58 A/U atau RG58 C/U)

  a) Kelajuan 10Mb/s, pengisyaratan jalur asas dan panjang maksimum 200
meter. Bagaimana pun panjang sebenar yang berkesan tidak melebihi 185
meter untuk satu segmen. Gangguan isyarat akan wujud sekiranya panjang
satu segmen melebihi 200 meter.

  b) Panjang minimum 0.5 meter antara MAU. Gangguan isyarat akan wujud
sekiranya panjang satu segmen kurang daripada 0.5 meter.

  c) MAU maksimum ialah 30 dalam setiap segmen. Jika ada keperluan
memasang 31 komputer, sebuah pengulang (repeater) perlu dipasang untuk
segmen itu. Dengan adanya pengulang itu, beban segmen berkenaan boleh
ditingkat daripada 185 meter menjadi 370 meter.  

d) Perlu menggunakan terminator 50 ohm dan dipasang di kedua-dua
penghujung segmen. Tanpa terminator 50 ohm sistem rangkaian tidak mungkin
berfungsi.

  e) Penyambung yang selalu digunakan adalah jenis BNC T.
  Sekiranya penyambung BNC T dicabut dari komputer, sistem rangkaian masih
boleh berfungsi dengan adanya terminator 50 ohm pada segmen tersebut.
Bagaimanapun sistem rangkaian tidak akan berfungsi jika kabel 10Base2
dicabut dari salah sebuah komputer kerana hanya ada satu terminator di
kedua-dua hujung segmen.   

 f) Selalu digunakan di dalam rangkaian bus dan rangkaian bintang.

3. 10 BaseT (Twisted pair)

  a) Kelajuan 10Mb/s, pengisyaratan jalur asas (baseband) dan panjang
maksimum 100 meter. Jenis ini lebih dikenali sebagai twisted pair kerana
sistem operasinya menggunakan dua pasang wayar, iaitu sepasang untuk
menghantar data dan sepasang lagi menerima. Untuk menguatkan lagi isyarat,
wayar tersebut perlu dipintal (twisted). Walaupun kabel 10baseT
mengandungi lapan wayar, hanya empat saja digunakan.   

 b) Sekiranya dua buah komputer peribadi disambungkan, kabel 10BaseT
perlu disilangkan. Bagaimana pun jika komputer peribadi disambung ke hub,
kabel straight through perlu digunakan kerana wayar disilangkan di dalam
hub.   

 c) Tiada jarak minimum di antara stesen.
  
 d) Maksimum 1,204 stesen tanpa menggunakan Bridge pada lapisan Data
Link.
  
 e) Menggunakan penyambung jenis  RJ45.

f) Boleh dibahagikan kepada tiga jenis. Kategori 1 dan 2 (Cat1 & Cat2)
dengan kelajuan maksimum sehingga  5Mb/s, kategori 3 (Cat3) sehingga 16
Mb/s, kategori 4 (Cat4) sehingga 20 Mbps dan kategori 5 (Cat5) sehingga
100 Mb/s. Kabel jenis lazimnya digunakan dalam topologi bintang..

4. 100BaseT (Twisted pair)

  Ciri-ciri jenis ini sama dengan 10BaseT, cuma kelajuan maksimum sehingga
100 Mb/s dan menggunakan kabel twisted pair jenis Cat5.

5. 10BaseF (Gentian Optik)
  
 a) Menggunakan teknologi denyutan cahaya (light pulses), berbeza dengan
kabel lain yang menggunakan teknologi elektrik untuk menghantar isyarat.
  Perlu diingat, kabel gentian optik amat mudah patah. Elak menyimpan dan
memasang kabel cara yang sama seperti kabel lain kerana ia diperbuat
daripada kaca atau plastik.
  [Rangkaian gentian optik dipasang sepanjang lebuh raya utara-selatan
untuk kegunaan telefon kecemasan di sepanjang lebuh raya.]
   
a) Oleh kerana ia mengunakan denyutan cahaya, kabel gentian optik sesuai
digunakan di dalam dan di luar bangunan dan tiada kemungkinan  akan
terkena kilat. Penggunaan kabel gentian optik adalah satu kemestian untuk
menambahkan sistem rangkaian ke bangunan berdekatan.
  Walaupun kos pemasangannya tinggi tetapi penggunaannya menjimatkan dalam
jangka masa panjang.
  Sekiranya kabel 10Base2 digunakan untuk menyambung dua LAN (Local Area
Network) bangunan bersebelahan walaupun bangunan tersebut disambung dengan
jambatan seperti Bangunan Twin Tower Petronas, kemungkinan kabel tersebut
terkena kilat adalah besar kerana sambungan ke bumi setiap bangunan
berbeza.
  Sekiranya terkena kilat, peralatan lain seperti hub dan router mungkin
akan mengalami kerosakan teruk.
  Walaupun kos pemasangan gentian optik dalam lingkungan RM3000 dan
10Base2 kira-kira RM400 saja, adalah lebih menguntungkan memasang gentian
optik daripada menghadapi kemungkinan terpaksa menggantikan peralatan hub
dan router dengan harga melebihi RM10,000.

  b) Ada dua jenis kabel gentian fiber yang selalu digunakan, iaitu
10Base-F dan FOIRL (Fiber Optic Inter-Repeater Link) yang mula
diperkenalkan pada 1980. Jarak maksimum FOIRL ialah 1000 meter dan dua MAU
maksimum. Bagi 10Base-F, jarak maksimum 2000 meter dan maksimum dua MAU.

  c) Gentian 10BaseF boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu 10Base-FL
yang menjadi pengganti FOIRL. Kabel 10BaseFL membolehkan peralatan bagi
FOIRL turut digunakan.
  Sekiranya hanya peralatan 10BaseFL digunakan, panjang maksimum adalah
2000 meter. Tetapi jika peralatan bercampur FOIRL, panjang maksimum 1000
meter saja. Dengan menggunakan 10BaseFL, MAU maksimum  ialah dua, iaitu
antara dua komputer atau dua pengulang atau satu komputer disambung dengan
satu pengulang.
  Jenis kedua ialah 10Base-FB yang direka untuk segmen isyarat tulang
belakang segerak (synchronous) dan kerap disambung ke hub untuk memanjang
lagi jarak sebanyak 2000 meter. Tetapi sistem dan peralatan untuk 10BaseFB
adalah terhad.
  10BaseF yang ketiga ialah 10Base-FP yang lebih dikenali sebagai Sistem
Pasif Gentian. Panjang maksimum ialah 500 meter.


0 komentar:

Posting Komentar